Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: "Saya dan suami baru beli kelengkapan bayi pagi semalam, tak sangka semuanya musnah dalam kebakaran," kata Siti Nur Haziqah Hasim, 22.

Kediaman milik bapa wanita itu, Hasim Yaacob, 69, di Lorong Mat Rojak, Jalan Bernam, Batu 9 1/2, di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Siti Nur Haziqah yang kini hamil enam bulan berkata, dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, dia sedang tidur di dalam bilik sebelum dikejutkan dengan jeritan anak saudara, Nur Damia Qistina Mohd Fauzal, 11, memaklumkan mengenai kebakaran itu.

"Saya terus keluar ke halaman rumah, namun masuk semula tetapi hanya sempat mencapai telefon bimbit sahaja.

"Barang keperluan bayi seperti baju, lampin pakai buang dan botol susu tidak sempat diselamatkan," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar, di sini, hari ini.

Siti Nur Haziqah berkata, dia kini buntu bagaimana untuk membeli semula barang keperluan bayi kerana suaminya, Mohd Alif Samsul Baharin, 22, sudah diberhentikan kerja kerana kilang ditutup akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KEADAAN rumah mangsa yang musnah. (Gambar kecil) Siti Nur Haziqah  (kanan) bersama anak saudaranya. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KEADAAN rumah mangsa yang musnah. (Gambar kecil) Siti Nur Haziqah (kanan) bersama anak saudaranya. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

"Memang sedih memikirkan persiapan bayi musnah dalam sekelip mata, tetapi bersyukur kami selamat.

"Adik-beradik yang banyak menyumbang untuk membeli barangan itu, tetapi kami diuji dengan kejadian ini," katanya yang juga anak bongsu daripada 12 adik-beradik.

Sementara itu, Hasim berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah manakala isteri, Salmiah Hassan, 60, menerima suntikan vaksin Covid-19 di Gombak.

"Apa yang menyedihkan saya rumah yang dibina sejak 11 tahun lalu dan menyimpan banyak kenangan musnah sekelip mana... Di sinilah 12 anak dibesarkan," katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, pihaknya akan membantu keluarga ini dalam masa terdekat termasuk memberi sumbangan berupa bantal tilam dan keperluan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 4:40 PM