Amir Mamat

Melaka: Kerajaan negeri menafikan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kem Terendak, di sini, seperti tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, sebaliknya gambar tular mengenai penutupan jalan masuk ke kawasan kediaman penduduk di sekitar kem itu adalah inisiatif tentera bagi mengawal pergerakan keluar masuk orang ramai di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, ini berikutan kawasan terbabit pernah dikenakan PKPD pada pertengahan bulan lalu selepas 155 penduduk disahkan positif Covid-19.

"Kluster Sungai Udang yang diisytiharkan pada 11 September lalu membabitkan seramai 155 anggota tentera dan ahli keluarga mereka di Kem Terendak, tetapi penutupan jalan masuk ke kediaman seperti yang tular itu adalah inisiatif pihak kem itu sendiri, bukannya Jabatan Kesihatan.

"Difahamkan langkah diambil pihak kem itu adalah untuk mengawal wabak itu daripada merebak kepada anggota tentera lain," katanya selepas meninjau program vaksinasi kepada remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali, Bukit Katil, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan negeri, Dr Mohd Azam Ahmad.

GAMBAR tular di media sosial menunjukkan beberapa anggota tentera mengawal jalan masuk ke Kem Terendak dengan meletakkan tong sebagai penghalang.
GAMBAR tular di media sosial menunjukkan beberapa anggota tentera mengawal jalan masuk ke Kem Terendak dengan meletakkan tong sebagai penghalang.

Sebelum ini, tular sekeping gambar serta kenyataan kononnya berlaku perintah berkurung di Kem Terendak (PULPAK) di Sungai Udang selepas dikatakan mempunyai 113 kes positif Covid-19.

Gambar itu menunjukkan beberapa anggota tentera mengawal jalan masuk ke kem berkenaan dengan meletakkan tong sebagai penghalang.

Sementara itu, Rahmad berkata, sekurang-kurangnya 69,020 kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Melaka akan diberikan vaksin sehingga akhir Oktober ini.

Beliau berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja itu bermula dengan pemberian vaksin kepada 27,779 remaja berusia 16 hingga 17 tahun diikuti 51,688 remaja berumur 12 hingga 15 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 7:16 PM