JAPERUN Pantai Kundor ditutup dari 14 hingga 24 September. FOTO Hassan Omar
JAPERUN Pantai Kundor ditutup dari 14 hingga 24 September. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Pantai Kundor, Tanjung Kling di sini, ditutup 10 hari mulai semalam berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan positif Covid-19.

Arahan penutupan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah bagi membolehkan kerja sanitasi dijalankan dan semua kakitangan di pejabat itu menjalani ujian calitan.

Nor Azman berkata, beliau menjalani ujian calitan beberapa hari lalu selepas seorang kakitangan di pejabat itu disahkan positif Covid-19.

"Saya menerima keputusan ujian yang mengesahkan saya positif Covid-19 kelmarin dan sejurus selepas itu, PKD mengeluarkan arahan penutupan sementara pejabat Japerun dari 14 hingga 24 September ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Nor Azman menjalani kuarantin kendiri di sebuah chalet miliknya di Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Beliau berkata, setakat ini beliau mengalami batuk dan pening serta lebih banyak menghabiskan waktu dengan berehat.

Sementara itu, Setiausaha Japerun itu, Syafiq Majid berkata, selain Nor Azman, turut disahkan positif pandemik berkenaan ialah seorang kakitangan lelaki berusia 30-an dan seorang kakitangan wanita juga berusia 30-an.

"Tujuh kakitangan yang lain juga sudah menjalani ujian calitan dan masih menunggu keputusannya tetapi tiada seorang pun yang bergejala," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini, Nor Azman dan kebanyakan kakitangan pejabat itu sering menghantar kotak makanan dan makanan yang baru dimasak kepada anggota komuniti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor yang menjalani kuarantin kendiri.

Katanya, walaupun tidak mampu mengesahkan punca jangkitan Covid-19, faktor pengagihan bahan makanan itu dipercayai antara sebab jangkitan.

Sehubungan itu semua urusan pejabat Japerun berkenaan terpaksa ditangguhkan hingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 10:49 AM