Amir Mamat


Melaka: Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan kerajaan negeri tidak pernah mengambil peduli kesihatan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan sebelum ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, berkata sebaliknya beliau sendiri pernah menghubungi Nor Azman untuk bertanya khabar ketika bekas Adun itu disahkan positif Covid-19, bulan lalu.

"Saya ada hubungi beliau pada 21 September lalu untuk bertanya khabar dan menasihatkannya supaya lebih banyak berehat sehingga pulih daripada jangkitan itu.

"Malah, saya ada membeli ubat untuk beliau dan dikirimkan kepada pegawai khasnya.

"Saya ada bukti bergambar dan kenyataan beliau yang menuduh kita tidak pedulikannya adalah sebagai 'penipuan yang tidak adil' kepada saya selaku pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) Melaka.

"Saya harap beliau tidak menjadi hipokrit semata-mata mahu mendapatkan perhatian di media," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, Nor Azman mendakwa pemimpin BN dan Perikatan Nasional (PN) Melaka tidak prihatin terhadap dirinya ketika menghadapi masalah akibat jangkitan Covid-19, bulan lalu.

Beliau dijangkiti wabak terbabit pada 13 September lalu sebelum menjalani kuarantin kendiri tetapi terpaksa dimasukkan ke wad Hospital Melaka pada 22 September selepas mengalami muntah dan pening.

Oksigen dalam badannya juga dikatakan turun hingga bawah 80 peratus dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 4:49 PM