SYAFIQ mengunjungi keluarga Asmelly dan menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai. FOTO  Hassan Omar
SYAFIQ mengunjungi keluarga Asmelly dan menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Tiada upaya seorang ibu lima anak untuk menempuh cabaran ketika sekatan pergerakan penuh sekarang sedangkan suami masih tersekat di Gelang Patah, Johor.

Bekalan makanan yang semakin susut tidak memberi banyak pilihan kepada Asmelly Ahyar, 42, selain terpaksa memohon bantuan kecemasan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor, Tanjung Kling di sini.

Suri rumah itu terpaksa berbuat demikian apabila semakin sukar untuknya mendapatkan bahan makanan sedangkan suami yang mencari rezeki sebagai pekerja kontrak tidak ada kerja berikutan sekatan pergerakan penuh.

Dia berkata, empat anaknya berusia antara sembilan hingga 17 tahun tinggal bersama di kediaman yang disewa RM200 sebulan di Kampung Pantai Kundor, Tanjung Kling, di sini, manakala anak sulung perempuan bekerja di Kedah.

"Saya buntu memikirkan keadaan kami kerana suami masih belum ada kerja dan tidak dapat pulang kerana larangan merentas negeri sekarang.

"Mahu tidak mahu, saya terpaksa menghubungi Japerun Pantai Kundor untuk meminta sumbangan barang makan kerana beras yang ada cuma mampu bertahan beberapa hari," katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Wanita terbabit menerima kunjungan Setiausaha Japerun berkenaan, Syafiq Majid yang menyampaikan bahan makanan dan wang tunai sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Asmelly berkata, dia sudah mencuba mendapatkan pekerjaan sampingan sebagai pembantu kedai makan tetapi hasratnya untuk menambah pendapatan keluarga terhalang akibat sekatan pergerakan penuh sekarang.

Katanya, hanya kepada Allah dia memohon doa agar budi baik Nor Azman dan petugas Japerun berkenaan diberikan ganjaran sebaik mungkin.

Sementara itu, Nor Azman berkata, Japerun menyediakan bantuan bahan makanan untuk anggota komuniti yang menghadapi kesukaran akibat sekatan pergerakan penuh.

"Kami amat memahami kesukaran yang terpaksa dilalui anggota komuniti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sekarang.

"Bagi meringankan beban mereka termasuk anggota komuniti yang menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing, kami menyediakan bahan makanan kerana kami tidak mahu mereka keluar rumah," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta anggota komuniti segera menghubungi Japerun berkenaan jika menghadapi masalah seumpama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 11:48 AM