NOR Azman (kanan) menyerahkan bubur lambuk kepada Samsudin di Masjid Ibadur Rahman, Tangga Batu Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
NOR Azman (kanan) menyerahkan bubur lambuk kepada Samsudin di Masjid Ibadur Rahman, Tangga Batu Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Amalan bersedekah bubur lambuk yang lazimnya dilakukan pada bulan Ramadan turut dilakukan sepanjang bulan Rejab ini khusus untuk jemaah masjid.

Amalan bersedekah dengan memasak sajian istimewa itu dilakukan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor, Tanjung Kling di sini, dengan menyumbangkannya kepada jemaah Masjid Ibadur Rahman, Tangga Batu di sini.

Sebanyak 160 paket bubur lambuk diedarkan kepada jemaah masjid itu selepas solat Asar berjemaah semalam.

Pengerusi masjid berkenaan, Samsudin Ajis, 69, berkata, amal jariah dengan menyumbangkan makanan itu dianggap rahmat untuk kariah masjid itu.

"Amalan bersedekah pada bulan Rejab ini akan dicatatkan sebagai amalan jariah. Jika dilakukan pada bulan Ramadan kelak, Allah SWT akan melipatgandakan lagi ganjarannya," katanya selepas menerima bubur lambuk disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Salah seorang jemaah masjid, Abdul Ghani Md Ali, 47, turut terkejut apabila menerima sumbangan bubur lambuk berkenaan.

"Alhamdulillah, semoga amalan ini diteruskan pada Ramadan kelak bagi membolehkan fakir miskin menikmati makanan enak seperti bubur lambuk," katanya.

Nor Azman berkata, sukarelawan memasak bubur lambuk di pejabat JAPERUN Pantai Kundor setiap Selasa dan Khamis untuk diedarkan di sembilan masjid dan 16 surau dalam DUN berkenaan.

Beliau berkata, amalan itu akan diteruskan pada Ramadan yang dijadualkan bermula pada pertengahan April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 4:34 PM