TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.
Hassan Omar
am@hmetro.com.my


Melaka: Polis menafikan beberapa pekerja Bangladesh mati dalam kejadian rusuhan membabitkan sebahagian kecil daripada keseluruhan 680 pekerja di Asrama Pekerja Asing Kilang Recron, Pantai Puteri, Tanjung Kling, dekat sini, malam kelmarin.

Sebaliknya, hanya seorang pekerja ditemukan tidak sedarkan diri di asrama berkenaan yang kemudian disahkan meninggal dunia yang dipercayai menyebabkan sebahagian kecil pekerja tidak puas hati kerana mendakwa pengawal keselamatan gagal mengambil tindakan segera menyelamatkan rakan mereka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalam kejadian 10.30 malam itu, seorang pengawal keselamatan dan beberapa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memasuki kawasan asrama untuk mengambil seorang pekerja lelaki yang dilaporkan tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, beberapa rakan pekerja terbabit tidak puas hati kerana mendakwa pengawal keselamatan gagal mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan rakan mereka.

"Beberapa pekerja asing melontar batu ke arah pengawal keselamatan dan petugas KKM yang menyebabkan mereka terpaksa keluar dari kawasan asrama.

"Pekerja merosakkan pondok pengawal keselamatan di pintu masuk utama tetapi keadaan berjaya dikawal selepas sepasukan anggota polis tiba di lokasi kejadian," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit dibawa ke Hospital Melaka tetapi kemudian disahkan sudah meninggal dunia dan mayatnya dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Siasatan mendapati kejadian itu menyebabkan kerosakan pada pejabat pengawal keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV), peti penggera kebakaran, motosikal Honda Wave milik pengawal keselamatan dan ambulans kemek serta calar.

"Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dan kerosakan dianggarkan bernilai RM22,000, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kejadian melalui media sosial.

Klip video kejadian itu tular di media sosial dengan kebanyakan netizen mendakwa ramai pekerja asing meninggal dunia.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, asrama berkenaan menempatkan 680 pekerja asing Bangladesh, Indonesia dan Nepal.

Katanya, mereka sudah menjalani ujian calitan semalam dan pekerja yang disahkan positif Covid-19 sudah dipakaikan gelang merah jambu, selain diasingkan di asrama berkenaan.

"Segala kos makan dan minum sepanjang mereka dikuarantin ditanggung oleh majikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 9:41 AM