NORAZLAN Ali menerima sumbangan duit raya daripada Nor Azman Hassan di Dewan JAPERUN Pantai Kundor, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
NORAZLAN Ali menerima sumbangan duit raya daripada Nor Azman Hassan di Dewan JAPERUN Pantai Kundor, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Siapa menyangka tumpahan minyak di atas lantai menyebabkan seorang lelaki tergelincir jatuh sebelum menjadi cacat kekal sejak hampir empat tahun lalu.

Kemalangan yang berlaku di sebuah hotel itu menyebabkan Norazlan Ali, 34, tidak mampu lagi bekerja dan terpaksa bergantung hidup kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Kemalangan di tempat kerja pada 2018 itu menyebabkan dia tidak berupaya menyara isteri, Raihana Izyan Azman, 33, dan anak tunggal berusia tiga tahun.

Menyorot kembali tragedi itu, Nurazlan berkata, dia yang bertugas sebagai pembantu tukang masak di sebuah hotel di Tengkera, tidak menyedari ada tumpahan minyak di atas lantai.

"Saya terpijak minyak sebelum jatuh terlentang dan terus masuk ke dalam longkang yang menyebabkan paha kanan patah dan terpaksa memakai tongkat hingga kini.

"Waktu itu saya baharu bekerja dua bulan dan masih belum disahkan dalam jawatan serta masih belum mencarum sekurang-kurangnya dua tahun dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk melayakkan saya diberikan perlindungan pencen ilat," katanya ketika menerima sumbangan Aidilfitri daripada Pelabuhan Tanjung Bruas Sdn Bhd (PTB) di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor, Tanjung Kling, di sini, semalam.

Sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan. Turut hadir, Ketua Eksekutif PTB, Md Derick Basir dan Pengurus Besar PTB, Mohd Nizam Ibrahim.

Seramai 100 anggota komuniti dalam DUN Pantai Kundor menerima duit raya dan bahan makanan daripada PTB manakala kuih raya disumbangkan Nor Azman.

Sementara itu nelayan, Mohd Shukri Jaamat, 38, bersyukur dan berterima kasih kepada PTB dan JAPERUN kerana memilihnya untuk menerima sumbangan itu.

"Saya tidak ada perahu dan jaring, cuma menjadi orang haluan (awak-awak) menangkap ikan menggunakan rawai dan jaring dengan pendapatan tidak menentu untuk menyara isteri dan dua anak," katanya.

Dia berkata, sumbangan berkenaan mampu meringankan bebannya untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Pix 2 dan 3: Norazlan Ali menunjukkan besi yang dipasang pada pahanya yang patah akibat terjatuh di dapur sebuah hotel tiga tahun lalu ketika menerima sumbangan Aidilfitri daripada Nor Azman Hassan di Dewan JAPERUN Pantai Kundor, Tanjung Kling.

Pix 4: Norazlan Ali menunjukkan besi yang dipasang pada pahanya yang patah akibat terjatuh di dapur sebuah hotel tiga tahun lalu ketika menerima sumbangan Aidilfitri di Dewan JAPERUN Pantai Kundor, Tanjung Kling.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 4:37 PM