Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) ketika melawat ke lokasi paip pecah di Jambatan Kampung Lampu, Besut. FOTO IHSAN MEDIA MB TERENGGANU
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) ketika melawat ke lokasi paip pecah di Jambatan Kampung Lampu, Besut. FOTO IHSAN MEDIA MB TERENGGANU
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerja-kerja pembaikan paip bocor di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu di Besut sudah mencapai kemajuan kira-kira 30 peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerja-kerja pembaikan paip bocor itu mula dilaksanakan sejak Khamis lalu.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan masalah itu dapat diselesaikan mengikut jadual ditetapkan.

"Kita jangkakan dalam tempoh seminggu hingga 10 hari, insha-Allah, penyambungan dapat disiapkan dan kembali seperti biasa kepada pengguna-pengguna yang terbabit di daerah ini (Besut).

"Kita (memberi) jaminan insha-Allah (kerana) setakat ini semua mengikut perancangan," katanya ketika melawat ke lokasi paip pecah di Jambatan Kampung Lampu di sini.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan penduduk kerja-kerja pembaikan itu tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan seperti yang berlaku di Kuala Terengganu sebelum ini, Ahmad Samsuri berkata, penduduk yang terjejas tidak perlu bimbang memandangkan kerja-kerja pembaikan berjalan seperti yang dijadualkan.

"Kita cuba (yang mana ) di Kuala Terengganu agak kompleks sikit sebab kita cuba selesaikan secara terus di bawah air tapi di sini kita buat cara yang agak berbeza sikit dan ia lebih cepat. insha-Allah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan penduduk di 11 kampung di sekitar Besut mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan 2,670 akaun pengguna selama 21 hari bermula 1 Januari lalu.

Ia berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 milimeter (mm) di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu, Besut dan gangguan bekalan air itu berlaku sementara kerja-kerja pembaikan dilakukan kontraktor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 9:11 AM