MD Amin  menghias rumahnya dengan Jalur Gemilang.
MD Amin menghias rumahnya dengan Jalur Gemilang.
HM Digital

Kuantan: Bahang sambutan Hari Kebangsaan semakin terasa sebaik memasuki kawasan perumahan Taman Indera Sempurna, di sini, apabila 200 penduduknya bersatu hati menghias kediaman masing-masing dengan Jalur Gemilang.

Penduduk di kawasan perumahan itu mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan Bulan Kemerdekaan bagi memeriahkan sambutan yang tinggal kurang dua minggu lagi.

Malah, penduduk tidak kisah berhabis sehingga RM250 untuk membeli Jalur Gemilang serta peralatan lain termasuk kayu dan tali pengikat, lebih menarik aktiviti menghias itu dilakukan secara gotong-royong.

Penduduk, Md Amin Sarju, 52, sanggup berbelanja lebih untuk membeli Jalur Gemilang pelbagai saiz semata-mata untuk menghias bahagian luar rumahnya.

Menurutnya, kerjasama penduduk yang bergotong-royong menghias rumah masing-masing bagaikan mengubah wajah taman berkenaan terutama di sepanjang Lorong 18 perumahan itu yang sebelum ini turut terbabit dengan projek pertanian bandar.

Penganjuran pertandingan itu oleh Rukun Tertangga (KRT) Taman Indera Sempurna bertujuan menaikkan semangat penduduk untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-60 tahun ini.

“Saya mengeluarkan belanja lebih RM150 untuk membeli Jalur Gemilang pelbagai saiz dan bentuk bagi menghias bahagian luar rumah, manakala setiap petang aktiviti memasang bendera dilakukan dengan bantuan beberapa jiran,” katanya.

Dia berkata, untuk meraih kejayaan bagi kategori lorong, kerjasama semua penduduk amat penting, setiap rumah perlu ada Jalur Gemilang seperti yang ditetapkan jawatankuasa pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 6:41 AM