Kanak-kanak mengibarkan bendera Malaysia  berlatarbelakangkan Jalur Gemilang  gergasi di Taman Pulau Gadong Jaya.
Kanak-kanak mengibarkan bendera Malaysia berlatarbelakangkan Jalur Gemilang gergasi di Taman Pulau Gadong Jaya.

Melaka: Bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan, penduduk Taman Pulau Gadong Jaya, di sini, bergotong-royong menghasilkan Jalur Gemilang gergasi di persimpangan masuk ke taman itu.

Bendera berukuran 9.144 meter panjang dan 4.87 meter lebar itu dihasilkan menggunakan 25 helai Jalur Gemilang yang dicantum dan kini menjadi tumpuan pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Pulau Gadong Jaya Abdul Rahman Mohamad, 54, berkata, cadangan menghasilkan Jalur Gemilang itu adalah hasil perbincangan dalam kalangan penduduk untuk bersama-sama memeriahkan sambutan kemerdekaan.

“Selain bergotong-royong menaikkan bendera, penduduk juga secara sukarela menghulurkan sumbangan dan menggunakan wang RM300 yang dikumpul untuk membeli Jalur Gemilang yang kemudian dicantum untuk menghasilkan bendera gergasi.

“Sokongan dan sumbangan penduduk mencerminkan komuniti kami mempunyai semangat sehati sejiwa kerana semua pihak memberikan kerjasama dalam menjayakan projek ini,” katanya.

Penduduk, Rozila Md Yusop, 42, yang ditugaskan untuk mencantumkan bendera itu berkata, dia mengambil masa selama dua hari untuk menjahit dan menyiapkan Jalur Gemilang gergasi terbabit.

“Saya dan suami bertungkus-lumus mencantumkan bendera-bendera itu, memang nampak mudah tetapi ia agak rumit kerana bahagian yang dijahit perlu selari dengan helaian bendera lain agar kelihatan cantik.

“Sebagai wanita Malaysia, ini adalah sumbangan kecil saya untuk bersama-sama memeriahkan sambutan kemerdekaan, tidak terkata betapa gembiranya perasaan apabila melihat Jalur Gemilang itu dinaikkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 10:14 AM