Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Tebingan Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Tebingan Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi

Kuching: Konsep diplomasi air akan diperluas kepada pelbagai pihak bagi memupuk penyelesaian yang inovatif dalam isu bekalan air bersih.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia akan dilaksanakan menerusi persefahaman dengan pelbagai pihak yang berkepentingan.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, konsep itu diyakini dapat meminimumkan risiko konflik seterusnya mencapai hasrat 'air untuk keamanan' yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Ketidaksamarataan dalam agihan sumber air, akses yang terhad kepada bekalan air dan perkhidmatan sanitasi serta kepincangan pengagihan faedah sosial, ekonomi dan alam sekitar boleh menjadi penghalang kepada keamanan dan kestabilan negara.

"Oleh itu, besar hasrat saya supaya konsep diplomasi air diperluaskan dalam memupuk penyelesaian yang inovatif melalui dialog, perkongsian data dan membuat keputusan bersama agar risiko konflik dapat dikurangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 yang disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Tebingan Kuching di sini, hari ini.

Fadillah berkata, air adalah komponen penting yang boleh bertindak sebagai penstabil dan pemangkin untuk pembangunan negara yang mampan.

"Justeru kita perlu bersatu dalam melindungi dan memulihara sumber kita yang paling berharga ini kerana air berperanan dalam mewujudkan kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial dan memastikan integriti alam sekitar dilaksanakan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata ketika ini konsep pengurusan sumber air yang bersepadu dan lestari diterapkan dalam semua aspek pengurusan lembangan sungai, pengurusan zon pantai, tasik dan pengurusan air banjir seperti yang diperkenal di bawah Integrated River Basin Management (IRBM) yang dilaksanakan oleh PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS).

"Ini bagi memastikan sumber air negara dapat diurus dengan penyelarasan holistik untuk kepentingan semua.

" Kita juga melaksanakan advokasi pengurusan air yang melibatkan semua peringkat individu, tidak mengira usia, termasuk kepada pihak berkepentingan seperti orang awam, para pelajar, pegawai kerajaan, pihak swasta dan sebagainya," katanya.

Menurutnya lagi, ketika ini PETRA meluluskan sebanyak 46 projek berkaitan air di wilayah Sarawak meliputi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu dengan kos projek sebanyak RM6.01 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12)

"Jumlah peruntukan yang diluluskan bagi pelaksanaan tahun ini adalah sebanyak RM298 juta, merangkumi perlindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai, pemuliharaan muara, kajian pelan IRBM, pembangunan loji rawatan kumbahan, loji rawatan enap cemar, pembangunan sistem pembentungan dan menaik taraf loji rawatan air.

"Apabila keseluruhan projek itu siap keseluruhan ia akan dapat mengatasi isu bencana banjir, mengurangkan risiko hakisan pantai, meningkatkan penyampaian bekalan air dan pembetungan serta memberi impak yang positif kepada penduduk Sarawak," katanya.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Fadillah berkata, PETRA memerlukan sebanyak RM9 bilion bagi menaik taraf paip air usang di seluruh negara.

Menurutnya, penggantian paip menjadi cabaran utama pihaknya kini kerana kebanyakan paip sudah terlalu lama dan kerap mengalami kebocoran.

"Sebanyak 40 peratus air bersih hilang begitu sahaja disebabkan berlaku kebocoran paip usang selain isu kecurian.

"Sebab itu, antara fokus dalam transformasi air adalah bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah kebocoran paip dengan menggantikan paip lama di seluruh negara bukan sahaja di Sarawak," katanya.

Ia sebagai maklum balas kepada permintaan Abang Johari dalam ucapannya agar Kerajaan Persekutuan menampung perbelanjaan dalam pelaksanaan projek penggantian paip.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 2:36 PM