Zuliaty Zulkiffli


Yan: Kesepakatan penduduk Kampung Kuala Dulang Kechil di sini bergotong-royong menghias rumah masing-masing dengan Jalur Gemilang menjadikan kampung itu sebagai lokasi menarik di daerah itu sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 tahun ini.

Malah kampung itu turut terpilih untuk mewakili pertandingan keceriaan peringkat daerah Yan sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Dulang Kechil, Ismail Md Zain, 53, berkata, penduduk kampung itu juga bersepakat untuk mengeluarkan wang sendiri membeli Jalur Gemilang untuk memberi semangat sambutan Hari Kebangsaan.

Katanya, gotong-royong memasang Jalur Gemilang dilakukan sejak 2 Ogos lalu tanpa mengira siang dan malam yang membabitkan golongan belia serta warga emas di kampung itu.

"Sebelum ni kami buat aktiviti yang sama setiap tahun tapi disebabkan pandemik Covid-19 dua tahun lalu, kami berhenti sekejap dan tahun ini, kami nak meraikan semeriah mungkin.

"Saya duduk berbincang dengan penduduk kampung untuk membina laman yang menarik untuk memudahkan orang ramai berswafoto di sebalik menara yang dihasilkan penduduk yang berlatar belakang Jalur Gemilang.

"Meriahnya hari ini apabila kami memakai pakaian tradisional iaitu berbaju Melayu serta baju kurung Kedah dan berarak menghias bendera untuk menyemarakkan lagi semangat kami sebagai rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui di kampung itu, hari ini.

Ismail berkata, penduduk kampung ini juga tidak lekang dengan idea dan bertukar pendapat untuk menjadikan kampung itu sebagai kampung tercantik dengan hiasan Jalur Gemilang.

Katanya, mereka akan melakukan aktiviti sama iaitu mengibar Jalur Gemilang di setiap rumah, surau, masjid, sekolah dan sebagainya sebagai menunjukkan rasa cinta pada tanah air.

"Orang ramai boleh datang ke kampung kami untuk melihat keindahan susunan Jalur Gemilang di merata tempat dan kami akan memasang Jalur Gemilang tambahan di setiap sudut sehingga Hari Malaysia nanti," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Yan, Mohamad Subhi Abdullah berkata, beliau amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh penduduk kampung itu yang mempunyai semangat jati diri dan patriotisme yang tinggi untuk sambutan hari bersejarah itu.

Beliau berkata, semangat seperti itu perlu diteruskan supaya golongan belia khususnya menjadikan Hari Kebangsaan sebagai sejarah yang tak akan luput ditelan zaman.

"Saya lihat penduduk kampung di sini bergabung tenaga tidak kira lelaki dan wanita untuk menghias kampung mereka iaitu setiap rumah dengan kibaran Jalur Gemilang yang sangat menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 11:41 AM
MOHAMAD Subhi (kanan) menaiki buggy dihias dengan Jalur Gemilang dan dibawa bersiar-siar di sekitar kawasan Kampung Kuala Dulang Kechil. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MOHAMAD Subhi (kanan) menaiki buggy dihias dengan Jalur Gemilang dan dibawa bersiar-siar di sekitar kawasan Kampung Kuala Dulang Kechil. FOTO Zuliaty Zulkiffli