Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia dijatuhi hukuman denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas kesalahan menerima rasuah bagi melepaskan warga asing tanpa melalui proses yang betul.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Rushdi Zainal, 27, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan selepas dibacakan jurubahasa.

Tertuduh didakwa sebagai Pegawai Imigresen Gred KP19 yang bertugas di Jabatan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diberikan suapan RM1,000 sebagai balasan melepaskan warga asing.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh diberikan suapan RM2,300 bagi kesalahan sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Maybank Islamic Berhad, Jalan BBN 1/2F Bandar Baru Nilai pada 12 Ogos 2019 dan 20 Julai 2020.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Sementara itu mahkamah sama turut menjatuhkan hukuman denda RM15,000 terhadap Mohamad Izhmi Mohamad Noor, 35, yang juga bekerja di Jabatan Imigresen Jabatan Imigresen KLIA 2.

Tertuduh didakwa menerima rasuah RM10,000 daripada seorang lelaki tanpa suatu balasan pada Oktober 2020 di sebuah kedai di Kampung Jijan, Nilai.

Jika gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dikenakan penjara 10 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 2:18 PM
Seorang pegawai Imigresen didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas dua pertuduhan menerima rasuah bagi membantu melepaskan warga asing tanpa melalui proses dan prosedur yang betul tahun lalu. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Seorang pegawai Imigresen didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas dua pertuduhan menerima rasuah bagi membantu melepaskan warga asing tanpa melalui proses dan prosedur yang betul tahun lalu. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN