MUHAMMAD Khairunazim dijatuhi hukuman denda RM30,000 dan penjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima rasuah melepaskan warga asing. FOTO Faiz Anuar
MUHAMMAD Khairunazim dijatuhi hukuman denda RM30,000 dan penjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima rasuah melepaskan warga asing. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang pegawai Imigresen dijatuhi hukuman denda RM30,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima rasuah bagi melepaskan warga asing yang melanggar kesalahan imigresen serta gagal melaporkan kes rasuah antara 2017 hingga 2018.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Khairunazim Ab Rahman, 32, mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa.

Rozilah mengarahkan hukuman penjara masing-masing sehari terhadap setiap pertuduhan berjalan serentak bermula hari ini dan tertuduh akan berdepan hukuman hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama, Muhammad Khairunazim iaitu Pegawai Imigresen KP19 yang bertugas di Bahagian Kawalan Keselamatan, Pejabat Imigresen, Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) diberikan wang suapan berjumlah RM200 oleh seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warga asing dari sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh diberikan wang suapan berjumlah RM800 oleh individu yang sama bagi tujuan yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Operasi, Bahagian Kawalan Keselamatan, Pejabat Imigresen KLIA serta tempat letak kereta pada November 2017 dan Januari 2018.

Oleh itu, tertuduh melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan Seksyen 25 (1) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut seksyen 25 (2) Akta yang sama kerana gagal melaporkan kesalahan penyogokan.

Bagi pertuduhan pilihan pertama, tertuduh boleh didenda RM100,000 atau dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya manakala untuk pertuduhan kedua, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Muhammad Khairunazim meminta mahkamah mengenakan denda yang minimum berikutan dia sudah mengaku bersalah serta insaf.

Bapa kepada seorang anak berusia setahun itu turut berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa hadapan.

Terdahulu, Rozilah ketika menjatuhkan hukumannya berharap tertuduh menganggap denda dan penjara yang dikenakan terhadapnya sebagai kifarah, malah dia perlu bertaubat bagi mengelakkan dirinya menerima pembalasan Allah SWT kelak.

"Kamu patut bersyukur sebab ditangkap awal, supaya kamu tidak menganggap wang rasuah itu sebagai satu nikmat. Saya berharap kamu betul-betul insaf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 2:41 PM