MAZLAN ketika menjawab soalan pada sesi soalan lisan Persidangan Keempat Dun Johor. FOTO Ihsan Medkom
MAZLAN ketika menjawab soalan pada sesi soalan lisan Persidangan Keempat Dun Johor. FOTO Ihsan Medkom
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Sebanyak 8,000 peranti termasuk komputer dan internet jalur lebar mudah alih akan mula diagihkan kepada pelajar memerlukan di negeri ini mulai bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang berkata, ia membabitkan peruntukan berjumlah RM25 juta.

Katanya, kerajaan Johor memilih untuk menyalurkan peranti komputer dan internet jalur lebar mudah alih kepada pelajar daripada keluarga B40 dan ibu tunggal berikutan ia lebih praktikal digunakan selain mempunyai memori lebih besar bagi menampung sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Sebanyak 8,000 peranti ini akan dijadikan aset sekolah dan kemudahan ini akan dipinjamkan kepada 8,000 pelajar yang kurang berkemampuan di negeri ini.

"Inisiatif ini termasuk membekalkan 8,000 internet jalur lebar mudah alih khas untuk kegunaan pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022 yang juga diserahkan kepada sekolah.

"Proses perolehan 8,000 peranti ini sudah dilaksanakan bulan lalu dengan bekalan peranti akan mula diedarkan kepada sekolah dan pelajar mulai awal September ini dan dijangkakan selesai sepenuhnya pada November," katanya.

Beliau berkata demikian bagi ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (Amanah-Parit Yaani) yang juga Ketua Pembangkang, berhubung status inisiatif pemberian 8,000 peranti kepada pelajar memerlukan bagi pelaksanaan PdPR di Johor, ketika sesi soalan lisan Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, hari ini.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa berkata, cabaran mendapatkan bekalan peranti yang disebabkan oleh kekurangan bekalan global shortage dan gangguan pada rantaian bekalan menyebabkan jadual bekalan peranti, lewat diagihkan kepada sekolah dan pelajar.

"Namun kerajaan Johor mendapat kerjasama secara terus dengan pengeluar peranti tanpa melalui pihak ketiga bagi meminimumkan gangguan berkenaan.

"Setakat ini kita sudah selesai membuat senarai pendek untuk agihan 8,000 peranti berkenaan dengan tiga daerah iaitu Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kluang sebagai penerima tertinggi inisiatif berkenaan.

"Ia membabitkan sebanyak 47 sekolah di Johor Bahru membabitkan 1,316 pelajar, Pasir Gudang 38 sekolah (1,064 pelajar) dan Kluang 29 sekolah (812 pelajar)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mencadangkan inisiatif berkenaan diperluaskan lagi di negeri ini bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar memerlukan.

"Cadangan perluasan inisiatif itu akan dimasukkan di dalam Belanjawan Johor 2022.

"Sekurang-kurangnya jika tidak dapat menambah kuantiti peranti, kita dapatlah sambung bayaran sewa talian Internet jalur lebar mudah alih kepada pelajar yang terpilih menerima peranti berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 11:27 AM