SEBANYAK 53 peratus akses internet kini  menerusi peranti mudah alih dan hanya 30 peratus menerusi komputer dan WiFi.
SEBANYAK 53 peratus akses internet kini menerusi peranti mudah alih dan hanya 30 peratus menerusi komputer dan WiFi.

TELEKOM Malaysia Bhd (TM) komited memastikan lebih ramai pelanggan menikmati perkhidmatan jalur lebar unifi dengan menawarkan pelbagai kempen dan promosi menarik kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Komersial TM, Anand Vijayan berkata, Unifi juga menawarkan perkhidmatan pelengkap kepada produk jalur lebar dengan 5G dan teknologi WiFi baharu.

Katanya, 53 peratus akses internet kini menerusi peranti mudah alih dan hanya 30 peratus menerusi komputer dan WiFi yang terus menjadi akses pilihan untuk rangkaian dalaman, sementara 5G adalah untuk akses rangkaian apabila berada di luar.

"Menerusi unifi kami meningkatkan segmen dalam kandungan dan permainan, keselamatan dan pemantauan, digital dan awan serta penyelesaian perniagaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Selain itu, unifi terus menjadi peneraju penyedia penyambungan di negara ini dengan jumlah pelanggan mencecah dua juta ketika ini," katanya pada taklimat media secara maya mengenai penawaran dan inisiatif terbaharu unifi, semalam.

Menurutnya, bagi memberi peluang lebih ramai yang mampu mendapatkan perkhidmatan jalur lebar terbaik pada harga berpatutan, TM menawarkan pelan unifi Mobile tanpa had baharu dengan bayaran langganan hanya RM59 berbanding RM99 sebelum ini.

Anand berkata, tiada perubahan dilakukan terhadap pelan terbabit, malah pelanggan boleh menikmati pelan internet dengan kuota data internet, panggilan dan SMS tanpa had.

Lebih menarik, turut ditawarkan ialah data hotspot LTE sebanyak 10GB sebulan dan pelanggan boleh mengakses rangkaian wifi@unifi secara percuma di lebih 8,000 lokasi di seluruh Malaysia.

Selain unifi Mobile, TM juga menyediakan pakej menarik menerusi kempen #unifiyourworld, apabila pengguna boleh mendapatkan pakej internet, panggilan dan SMS tanpa had serendah RM69 (unifi Home) sebulan termasuk peranti pintar seperti televisyen dan laptop (ditawarkan pada harga lebih rendah).

Sementara itu, beliau berkata unifi juga merekodkan pertumbuhan kukuh dengan jumlah pendapatan meningkat 7.5 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding suku sama tahun lalu walaupun berdepan persekitaran mencabar dicetuskan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 7:00 AM