FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bharu: Bekas datuk bandar sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor ditahan petang tadi, bagi siasatan kesalahan menerima rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan bekas pegawai kanan kerajaan itu kira-kira jam 3 petang tadi di Pejabat SPRM Johor.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek yang dilaksanakan di bawah kendalian PBT itu sewaktu dia menjadi Datuk Bandar di majlis bandaraya berkenaan.

"Suspek adalah seorang lelaki berusia 60 tahun," kata SPRM dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) ASPRM 2009, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan tangkapan itu.

"Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pagi esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 8:49 PM