GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my


Johor Bahru: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan Ketua Cawangan Logistik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana dipercayai membuat tuntutan palsu.

Suspek yang berusia 36 tahun itu bertugas sebagai Ketua Cawangan Logistik ZA20 di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM Sungai Lunchoo, Masai, di sini, ditahan di Pejabat SPRM Johor pada jam 10 pagi tadi bagi membantu siasatan.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek bersubahat dan memperakukan pesanan kerajaan seterusnya mengemukakan tuntutan palsu.

"Ia berkaitan perkhidmatan mencetak beg kertas dan perkhidmatan mencetak kain rentang kepada Markas KD Sultan Ismail, Pusat Latihan Perajurit Muda TLDM Tanjung Pengelih Mukim Pengerang, Kota Tinggi, yang berjumlah RM24,250 sedangkan pembekalan berkenaan tidak pernah dibuat," kata kenyataan dikeluarkan SPRM Johor, hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan berkenaan.

"Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 12:29 PM