FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Johor Bahru (MBIP) dan seorang pemilik syarikat kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, petang semalam, kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu.

Suspek lelaki dan perempuan, masing-masing berusia 36 dan 45 tahun itu, ditahan kira-kira 6 petang semalam di Pejabat SPRM Johor.

"Hasil siasatan dijalankan mendapati penolong jurutera itu disyaki bersubahat bersama pemilik syarikat kontraktor yang mempunyai dua syarikat berdaftar miliknya.

"Mereka dipercayai mengemukakan dokumen dan sijil Perolehan Kerja Kerajaan CIDB, Perakuan Pendaftaran CIDB Malaysia dan sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang mengandungi butir matan palsu kepada pihak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri bagi mendapatkan kelulusan kerja-kerja di MBIP antara 2018 sehingga 2020.

"Antaranya membabitkan Kerja Mengikis Permukaan Jalan dan Menurap Semula Jalan Serta Mengecat Semula Petak Meletak Kenderaan yang membabitkan jumlah keseluruhan tuntutan bernilai lebih RM350,000," kata SPRM dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan itu.

"Permohonan reman ke atas semua suspek akan dibuat pagi ini di Mahkamah Sesyen Johor Bahru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 9:00 AM