MOHD Amar, gambar fail. FOTO NSTP
MOHD Amar, gambar fail. FOTO NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Sukar untuk mengawal penularan Covid-19 jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, lebih baik jika pilihan raya tidak berlaku dan tunggu sehingga masa yang sesuai untuk mengadakannya.

Katanya, ada baiknya semua pihak memberi tumpuan kepada usaha menangani pandemik Covid-19, dalam masa sama menyelesaikan isu ekonomi dan kesejahteraan rakyat. .

"Lagipun kalau kita tunggu (penggal Parlimen tamat bagi membolehkan PRU-15), paling lama pun dua tahun lagi. Dalam politik, dua tahun ini sekejap sahaja, bukannya lama.

"Namun sebab ada orang ghairah hendak menjadi Perdana Menteri, mimpi siang malam nak menjadi Perdana Menteri, jadi sebab itulah isu ini berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Penyampaian Tablet Kepada Anak-anak Pelanggan Ar-Rahn di Ibu Pejabat Permodalan Kelantan Berhad, di sini, hari ini.

Mohd Amar turut menyelar tindakan blok pembangkang dan pihak tertentu yang mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

"Siapa hendak ganti.? Sekarang ini semua (gabungan parti) yang ada tidak cukup sokongan dan akhirnya kelam kabut juga.

"Mungkin kerajaan yang naik lebih teruk daripada kerajaan yang ada pada hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 6:30 PM