(Gambar fail) Ahmad bersama Mohd Amar (kiri) melihat buku Manifesto selepas melancarkan Manifesto Kelantan Sejahtera Untuk Islam PRU-14 di Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu bulan lalu. Zaman Huri Isa
(Gambar fail) Ahmad bersama Mohd Amar (kiri) melihat buku Manifesto selepas melancarkan Manifesto Kelantan Sejahtera Untuk Islam PRU-14 di Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu bulan lalu. Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail

“TUNGGU esok,” kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berhubung individu yang bakal menjawat jawatan Timbalan Menteri Besar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin kononnya penyandang Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang juga ADUN Panchor akan digugurkan.

Ahmad berkata, semua individu yang dipilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan termasuk Timbalan Menteri Besar akan diketahui ketika upacara angkat sumpah esok.

“Kita tunggu esok, ada sedikit sebanyak perubahan muka baharu dan muka lama pun ada.

“Jumlah masih sama, tidak kurang daripada empat orang dan tidak lebih 10 orang,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) PAS Kelantan di kediaman rasminya di Kota Bharu, hari ini.

Upacara angkat sumpah Exco dijadual berlangsung di hadapan Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Istana Kota Lama, pada jam 11 pagi esok.

Sementara itu, Mohd Amar yang turut menghadiri mesyuarat hari ini dilihat cuba mengelak bertemu dengan pemberita dan usaha untuk menghubunginya juga gagal.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Exco terpilih akan mengangkat sumpah esok.

“Selepas disenarai mendapat perkenan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, esok semua Exco yang dipilih akan mengangkat sumpah,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat hari ini, Ahmad berkata, pihaknya bersetuju menubuhkan jawatankuasa ‘postmortem’ untuk PRU-14 di negeri ini.

“Hari ini, kita bersetuju mewujudkan jawatankuasa untuk melakukan kajian mengenai PRU-14,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 5:17 PM