MOHD Amar. FOTO Arkib NSTP.
MOHD Amar. FOTO Arkib NSTP.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob akan mengadakan kunjung hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun belum dipastikan tarikhnya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kunjungan hormat antara Menteri Besar atau Ketua Menteri dengan Perdana Menteri adalah satu amalan biasa.

Katanya, ia untuk mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

"Kalau Perdana Menteri baru naik biasa Menteri Besar dan Ketua Menteri akan mengadakan kunjungan hormat.

"Itu perkara biasa kita buat dan Kelantan akan buat benda sama (kunjungan hormat) dan serahkan kepada Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) sebab beliau akan buat keputusan kalau hendak pergi bila," katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung pertemuan antara Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengadakan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.

Mengulas lanjut Mohd Amar berkata, Pejabat Menteri Besar akan menguruskan dan membuat keputusan itu.

Pada perkembangan yang lain ketika ditanya media berhubung sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini sama ada akan membawa usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Mohd berkata, beliau tidak mempunyai maklumat terhadap perkara itu.

"Saya bukan Ahli Parlimen dan tidak mempunyai jadual sidang Parlimen itu. Namun, setahu saya yang sekadar dengar dari luar ini, persidangan Dewan Rakyat ini fokusnya kepada mini belanjawan untuk membolehkan gaji-gaji dibayar bagi tahun 2023," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 4:17 PM