Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bera: Perikatan Nasional (PN) hanya mengambil kesempatan dengan memperalatkan Pas untuk meraih undi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam gabungan PN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dianggap lebih dominan berbanding Pas walaupun parti terbabit lemah dari segi jentera parti di lapangan.

Menurutnya, ini terbukti apabila jentera Pas hanya akan digunakan Bersatu walaupun potensi parti itu untuk menang adalah tipis.

Katanya, Johor yang dianggap kubu kuat Bersatu kerana Presidennya pernah menjadi Menteri Besar juga kecundang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan mengheret Pas bersama dalam kekalahan itu.

"Dalam PN, yang untung adalah Bersatu dan jika di Bera, mereka tidak ada jentera yang kuat dan memerlukan bantuan ahli Pas untuk berkempen.

"Pas juga tidak belajar daripada kekalahan yang berlaku dalam beberapa PRN seperti di Melaka dan Johor apabila tidak ada kerusi yang dimenangi mereka.

"Walaupun pelbagai janji ditabur seperti dalam PRN Melaka, tapi PN tetap ditolak dan Pas menjadi mangsa," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baru di Kuala Bera, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 500 penduduk Kampung Bohor Baru yang turut berkesempatan beramah mesra bersama Ismail Sabri.

Perdana Menteri yang juga calon Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media Program Kenduri Kampung di Kampung Bohor Baru sempena Pilihanraya Umum ke-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Perdana Menteri yang juga calon Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media Program Kenduri Kampung di Kampung Bohor Baru sempena Pilihanraya Umum ke-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Ismail Sabri yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera berkata, penyokong Pas perlu sedar taktik licik ini dan menyeru undi diberikan kepada BN jika tiada calon parti itu dipilih di kawasan ditandingi PN.

"Jika Pas masih berharap Bersatu boleh bawa kemenangan (dalam PRU-15), tapi mungkin sebenarnya ia hanya akan menyebabkan Pas kecundang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 2:40 PM