AHMAD Zahid beramah mesra dengan pemimpin Umno pada perasmian Retreat Biro Politik Umno Bahagian-Bahagian Kedah, hari ini. FOTO Bernama
AHMAD Zahid beramah mesra dengan pemimpin Umno pada perasmian Retreat Biro Politik Umno Bahagian-Bahagian Kedah, hari ini. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Umno tidak boleh terlalu selesa dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ini kerana Ahli Parlimen terbabit menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, di kerusi yang sebelum ini pernah menjadi kawasan milik Barisan Nasional.

"Kita di dalam Umno tidak harus merasa terlalu selesa dengan dokongan mereka kepada Perdana Menteri, itu adalah satu perkara berlainan kerana mereka adalah Ahli Parlimen (pembangkang).

"Mereka ini adalah Ahli Parlimen yang mana calon BN tak cukup jumlah undi untuk menang di kerusi itu (pada PRU-15), namun kita berada pada kedudukan yang kedua," katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Perasmian Retreat Biro Politik Umno Bahagian-Bahagian Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara penting dalam tindakan Ahli Parlimen berkenaan adalah memastikan BN dapat kembali merampas kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

"Umno dan BN akan mengambil kira perkembangan terbaru itu, biarpun baik (kepada Kerajaan), namun Umno berpendirian kerusi itu perlu menjadi milik Umno semula.

"Jika perkembangan terbaru politik ini diambil kira, maka ia positif sebagai landasan untuk kita bergerak ke hadapan," katanya.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu iaitu Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli mengambil tindakan menyokong Perdana Menteri, walaupun mengambil keputusan untuk terus kekal bersama parti itu.

Berikutan itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Akta Antilompat Parti yang diluluskan Parlimen sebelum ini, dikaji semula selepas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu melihat terdapat kelemahan terutama dalam situasi kes ahlinya menyokong Kerajaan Perpaduan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 2:26 PM