KETELITIAN dalam pembuatan logam dititikberatkan.
KETELITIAN dalam pembuatan logam dititikberatkan.
Fazurawati Che Lah


DALAM mencapai sasaran pemerkasaan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam bidang kraf logam, Institut Kraf Negara (IKN) berjaya melahirkan 400 graduan dalam bidang seni berkenaan sejak penubuhannya pada 2001.

Menurut Pengarah Seksyen Akademik dan Kemahiran Kraf IKN Yazid Parlan, dari jumlah itu sebanyak 80 peratus menjadikan industri kraf logam dalam bidang pembuatan barang kemas, cenderamata dan perkhidmatan sebagai laluan karier mereka.

“Graduan dalam jurusan logam IKN memenuhi keperluan industri pembuatan cenderamata, sektor perkhidmatan gadaian Islam Ar-Rahn sebagai penilai, pendidik (menerusi bidang pendidikan) dan pereka di syarikat yang berkaitan pengeluar produk berasaskan logam serta usahawan persendirian.

“Pemain dalam industri logam perlu bergerak ke hadapan dengan pemantapan ciri keusahawanan tahap global melalui penggunaan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya penambahbaikan produk, inovasi dan peningkatan kualiti kraf logam negara dapat bersaing di pasaran.

“Apatah lagi kraf logam mempunyai ruang yang besar dalam industri dan menjana sosio ekonomi negara,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan penganalisis dan pengkaji ekonomi turut memperkatakan bahawa produk dan perkhidmatan seni seperti industri seni kraf logam menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat serta negara.

“Kajian ekonomi menyatakan pembangunan industri kraf di beberapa negara Asia Tenggara menjadi faktor penyumbang terpenting kepada pembangunan personaliti seseorang usahawan dan juga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Malaysia adalah pengeluar barangan kemas yang berkapasiti tinggi dalam nilai eksport keluar negara seperti Hong Kong dan negara di Eropah.

GRADUAN IKN dilihat memenuhi keperluan industri.
GRADUAN IKN dilihat memenuhi keperluan industri.

“Pereka yang bertaraf antarabangsa menjadi aset penting negara dalam memperkembang dan menjadikan industri kraf logam negara terus kukuh serta berkembang,” katanya.

Beliau berkata, penguasaan kemahiran asas melalui teknik memotong, menebuk, membentuk, hiasan permukaan dan kemasan akhir ialah penguasaan teknik dalam membentuk serta menghasilkan reka corak.

“Mengenal dan memahirkan penggunaan alatan khas dalam penghasilan kraf logam amat penting serta sentiasa memerlukan latihan pemantapan bagi penghasilan produk yang bermutu tinggi.

“Beberapa teknik pembuatan dalam barangan kraf logam khususnya barang kemas seperti tebuk tembus, pahat halus, filiggeri dan lain-lain adalah kemahiran yang memerlukan ketekunan serta ketelitian yang tinggi semasa melakukannya.

“Bagi barangan kasar seperti barangan hiasan dan cenderamata, teknik putaran, kubah, tebuk dan ketuk adalah kemahiran yang memerlukan tenaga yang mencukupi dan ketelitian tinggi supaya rekaan memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.

Katanya, peningkatan permintaan produk kraf di Malaysia pada hari ini mempengaruhi pembangunan personaliti seseorang usahawan kraf dalam aspek inovasi, komitmen dan keinginan untuk berjaya dalam perniagaan mereka.

“Oleh yang demikian, bagi meningkatkan permintaan produk kraf dan juga mengisi keperluan hidup masyarakat pengguna hari ini, usahawan perlulah inovatif dan komited membangunkan produk yang masih mengekalkan nilai etika dan estetika dalam budaya Melayu.

“Sememangnya, industri kraf memerlukan inovasi dan idea baharu dalam semua aspek ke arah memastikan penghasilan produk berkualiti serta diterima pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 10:51 AM