GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Orang kena tahan (OKT) yang dikesan positif Covid-19 mencetuskan kluster baharu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, hari ini.

OKT atau kes indeks berusia 63 tahun itu positif selepas saringan dilakukan terhadapnya pada 5 Ogos lalu dan kini sudah menjangkiti empat anggota polis dan 35 OKT lain yang ditahan di IPD berkenaan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks itu mencetuskan kluster baharu Covid-19 di IPD berkenaan yang dilaporkan di Sabah, hari ini.

Katanya, sehingga kini Kluster Lebuh Empat itu mencatat sebanyak 50 kes kumulatif, termasuk 39 kes baharu hari ini daripada 122 sampel yang diambil untuk ujian saringan kontak.

"Kluster Lebuh Empat, Sandakan membabitkan anggota IPD Sandakan dan OKT di Lokap IPD Sandakan. Kes indeks adalah OKT lelaki disahkan positif melalui saringan OKT dan didaftarkan pada 5 Ogos lalu.

"Saringan kontak kemudian dijalankan dengan mengambil 122 sampel. Daripada jumlah itu, sebanyak 50 sampel dikesan positif, termasuk 39 kes baharu hari ini iaitu 35 OKT dan empat anggota IPD Sandakan, manakala baki 71 sampel didapati negatif," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 9:56 PM