Isma Ismail dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti enam kluster baharu di Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan di Johor, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam kluster itu adalah Kluster Mesra, Kluster Megah, Kluster Kaya, Kluster Bah Kayu, Kluster Baki dan Kluster Kempas.

Menurutnya, Kluster Mesra membabitkan daerah Sandakan di Sabah di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-13755) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 7 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti 21 lagi kes positif Covid-19 di mana sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 116 individu disaring.

"Hasil saringan 22 dikesan positif dengan tujuh kes baharu, dua negatif dan 92 masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi Kluster Megah pula membabitkan daerah Sandakan di negeri Sabah di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-13706) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti 14 lagi kes positif Covid-19 dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 64 individu disaring di mana 15 kes dikesan positif Covid-19 (satu kes baharu).

"12 kes dikesan negatif Covid-19 dan 37 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata, Kluster Kaya pula membabitkan daerah Seremban di Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya di mana kes dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 24 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tuanku Jaafar.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 63 individu disaring di mana 55 kes dikesan positif Covid-19 (54 kes baharu), enam kes dikesan negatif Covid-19 dan duaindividu masih menunggu keputusan.

PETUGAS kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling memasukkan sampel ujian selepas melakukan ujian saringan Covid-19, 21 Oktober lalu. FOTO Aizuddin Saad
PETUGAS kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling memasukkan sampel ujian selepas melakukan ujian saringan Covid-19, 21 Oktober lalu. FOTO Aizuddin Saad

"Kluster Bah Kayu pula membabitkan daerah Gombak di negeri Selangor dan daerah Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-17371) dikenal pasti positif Covid-19 hasil pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 13 Oktober lalu dandimasukkan ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

Katanya, saringan kontak rapat mengenal pasti 16 lagi kes positif Covid-19 di mana sehingga 2412 tengah hari ini, sejumlah 628 individu disaring, dengan 17 kes dikesan positif Covid-19 (satu kes baharu) dan 591 kes dilaporkan negatif sementara 20 individu masih menunggu keputusan.

"Kluster Baku pula membabitkan daerah Kuching di negeri Sarawak di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-20431)dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 17 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

"Saringan kontak rapat telah mengenal pasti empat lagi kes positif Covid-19 di mana sehingga12 tengah hari, sejumlah 68 individu disaring.

"Hasil saringan lima dikesan positif Covid-19 (tiga kes baharu), 34 individu negatif dan 29 individu masih menunggu keputusan.

Menurut Dr Noor Hisham, Kluster Kempas pula membabitkan daerah Johor Bahru dan Kulai di negeri Johor di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-24447)dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 22 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti tujuh lagi kes positif Covid-19 di mana sehingga jam 12 tengah hari, sejumlah 206 individu disaring dengan lapan kes dikesan positif Covid-19 (limakes baharu), 28 individu negatif dan 170 individu masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 7:02 PM