FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat kluster baharu Covid-19 hari ini di Sabah, Kedah dan Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah Kluster Istimewa, Kluster Alila, Kluster Assumption dan Kluster Rajawali.

Menurutnya, Kluster Istimewa membabitkan Sandakan di Sabah yang mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-22,026) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kemasukan ke wad pada 20 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat mengesan 15 lagi kes positif Covid-19 yang mana kesemua kes ini dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19Berisiko Rendah, Dewan Kompleks Sukan Sibuga, Sandakan.

"Bagi Kluster Alila, ia membabitkan Kota Kinabalu di Sabah yang mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-23,498) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 Oktober lalu," katanya pada kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, saringan kontak rapat mengesan 22 lagi kes positif Covid-19 yang mana kesemua kes ini dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Hospital Queen Elizabeth.

"Kluster Assumption pula membabitkan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang serta Kulim di Kedah.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-42,773) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kendiri pada 11 November lalu," katanya.

Beliau berkata, saringan kontak rapat mengesan sembilan lagi kes positif Covid-19 yang mana kesemua kes dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

"Kluster Rajawali membabitkan Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang yang mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-39,181) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kendiri pada 6 November lalu dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

"Saringan kontak rapat mengesan sembilan lagi kes positif Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 6:50 PM