Adhif Syan Abdullah (tengah) hadir menyampaikan sumbangan kepada pesakit buah pinggang Zulkifli  (kiri) di Taman Putra Perdana. FOTO SAMADI AHMAD
Adhif Syan Abdullah (tengah) hadir menyampaikan sumbangan kepada pesakit buah pinggang Zulkifli (kiri) di Taman Putra Perdana. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Puchong: Berat ujian ditempuh pasangan suami isteri ini apabila kedua-dua mereka disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik dan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Zulkifli Hussein, 51, berkata, dia disahkan menghidap penyakit itu sejak Ogos 2020 dan berhadapan masalah kewangan untuk merawat penyakit berkenaan.

Isterinya seorang suri rumah, Roslinda Botok, 47, juga menghidap penyakit sama sejak Januari tahun lalu dan sehingga kini tidak mampu melakukan kerja-kerja berat.

Katanya, dia diberikan cuti sakit oleh majikan dan kesemua gaji diterima habis dibelanjakan untuk merawat penyakit itu termasuk kos membeli ubat.

"Setiap minggu saya terpaksa membelanjakan RM1,200 untuk membayar kos rawatan tidak termasuk kos pengangkutan ke pusat dialisis yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumah.

"Pada masa ini saya juga tidak boleh bergerak aktif seperti dahulu dan kadangkala merasa buntu memikirkan masalah kewangan untuk merawat penyakit termasuk perbelanjaan harian keluarga.

"Sejak diserang penyakit ini, saya sudah membelanjakan lebih RM30,000 untuk kos rawatan termasuk mengeluarkan kesemua wang simpanan bagi menampung perbelanjaan rawatan," katanya.

Menurutnya, anak pertama, Aina Najwa, 21, yang menuntut di Institut Teknologi Mara (UiTM) juga tidak dapat meneruskan pengajian disebabkan berhadapan masalah kewangan.

"Manakala anak bongsu, Ikmal Najman,19, yang menuntut di Kolej Vokasional Seremban dalam bidang kulanari masih menjalani latihan amali.

"Ketika ini saya menerima bantuan dari rakan, pihak masjid dan orang ramai yang menghulurkan sumbangan kewangan untuk membeli barangan harian berikutan proses permohonan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) masih belum diluluskan," katanya ketika menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Dengkil, Adhif Syan Abdullah di kediamannya di Taman Putra Perdana di sini, tadi.

Sementara itu Adhif berkata, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sepang turut menyampaikan bakul makanan dan bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga itu.

Turut memberi bantuan pihak pengurusan Masjid Taman Putra Perdana yang berusaha membantu menguruskan bantuan daripada Pusat Zakat Selangor termasuk bayaran bulanan kediaman pasangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 10:43 PM