DR Ng menunjukkan gambar buah pinggang mengalami kerosakan.
DR Ng menunjukkan gambar buah pinggang mengalami kerosakan.
SIHAT pada usia emas impian semua.
SIHAT pada usia emas impian semua.
Siti Zarinah Sahib


Bayangkan selepas bertemu doktor untuk membuat pemeriksaan, dia memberitahu ada sesuatu tidak kena dengan buah pinggang anda dan memerlukan rawatan segera.

Mungkin anda tertanya-tanya dan berfikir kenapa anda tidak pernah terasa sakit atau tidak selesa sebelum ini?

Sebenarnya situasi ini bukanlah luar biasa kerana penyakit buah pinggang biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal.

Selepas fungsi buah pinggang hanya tinggal 15 hingga 30 peratus sahaja barulah pesakit akan merasai kesakitan dan gejala kelesuan, kaki bengkak serta hilang selera makan sehingga memaksa pesakit mendapatkan rawatan.

Menurut Pakar Perunding Nefrologi, Hospital Pusrawi Kuala Lumpur Dr Ng Eng Khim tahap kesihatan seseorang amat bergantung kepada buah pinggang yang berfungsi secara sempurna.

Secara amnya fungsi utama buah pinggang adalah menapis darah bagi membuang air, garam berlebihan dan bahan kumuh bertoksin dari tubuh.

“Fungsi utama lain adalah membina beberapa jenis hormon yang mengawal beberapa fungsi tubuh seperti pengawalan tekanan darah dan pembinaan sel darah merah.

“Apabila buah pinggang atau ginjal mengalami kerosakan, ia sudah tentu mengganggu kualiti hidup dan menjadi masalah kesihatan yang menakutkan penghidapnya,” katanya.

Terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada kerosakan ginjal. Sebab paling utama penyakit kencing

manis, darah tinggi, keradangan buah pinggang yang biasa dialami bagi mereka yang berusia 50 tahun ke bawah serta pengambilan ubat-ubatan terutama ubat tahan sakit dalam tempoh terlalu lama.

Kata Dr Ng, terdapat salah faham dalam kalangan pesakit buah pinggang yang mengatakan ubat darah tinggi dan kencing manis yang diambil setiap hari menjadi punca kerosakan buah pinggang, tapi sebenarnya tidak.

“Ia sebenarnya berpunca daripada pengabaian penjagaan penyakit kencing manis dan darah tinggi selama bertahun-tahun yang akhirnya menyebabkan berlaku kerosakan buah pinggang.

“Walaupun pesakit mengambil ubat, penyakit kencing manis dan darah tinggi memerlukan strategi perawatan daripada pelbagai sudut.

“Ini termasuk gaya hidup, pemilihan makanan dan juga penurunan berat badan yang mendatangkan banyak kebaikan kepada pesakit,” katanya yang menegaskan strategi ini adalah satu kawalan yang sangat penting bagi memastikan pesakit tidak mendapat penyakit buah pinggang kronik.

Buat saringan awal

Berdasarkan kajian, penyakit buah pinggang kronik bukanlah penyakit yang jarang berlaku sebaliknya seorang daripada 11 dewasa di Malaysia berhadapan dengan penyakit ini.

Peratusan ini sangat mengejutkan.

Sebab itu perlunya penekanan dan kesedaran awal untuk membuat saringan supaya ia tidak sampai kepada tahap serius dan bagi memastikan pesakit tidak perlu membuat dialisis.

Kesedaran sangat penting terutama bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi serta mereka yang berusia 65 tahun ke atas.

“Dalam hal ini orang ramai perlu sedar, fungsi buah pinggang semakin merosot apabila usia meningkat. Oleh itu saringan awal sangat penting bagi memastikan pesakit mempunyai jangka hayat lebih lama,” katanya yang turut meminta mereka yang mendapati terdapat buih dalam air kencing segera membuat pemeriksaan.

Ini kerana kehadiran protein dalam air kencing menunjukkan adanya masalah pada ginjal.

Rawatan sakit buah pinggang kronik

Apabila buah pinggang sudah tidak berfungsi, lazimnya pesakit akan menjalani rawatan dialisis.

Terdapat dua jenis rawatan dialisis yang lazimnya diberikan kepada pesakit iaitu:

1. Hemodialisis

Hampir kebanyakan pesakit buah pinggang memilih hemodialisis disebabkan ia dilakukan di hospital atau pusat dialisis sambil dibantu jururawat terlatih.

Dialisis sebenarnya bukan untuk menyembuhkan penyakit buah pinggang, tetapi ia menggantikan fungsi buah pinggang.

Oleh itu pesakit terpaksa menggunakan rawatan ini sepanjang hayat mereka kecuali sekiranya ada yang ingin melakukan pemindahan organ buah pinggang.

Setiap pesakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis perlu menjalani dialisis seminggu tiga kali (12 kali sebulan).

Setiap kali dialisis mengambil masa selama empat jam.

Jika tidak menjalani dialisis boleh mengakibatkan kehilangan nyawa kerana tubuh badan akan menjadi lemah.

2. Peritoneal dialisis

Rawatan ini boleh dilakukan di rumah. Untuk itu sebelum melakukannya pakar perubatan akan datang ke rumah bagi memberi maklumat dan latihan yang diperlukan bagi memastikan pesakit mampu merawat diri sendiri di rumah.

Menerusi rawatan ini pesakit boleh memastikan kaedah bersesuaian dengan gaya hidup dan persekitaran rumah mereka.

Pesakit juga boleh melakukan rawatan pada waktu malam dengan menggunakan mesin automatik. Ini memberikan kebebasan pada waktu siang.

Pada masa sama pesakit akan ke hospital setiap satu hingga tiga bulan untuk berjumpa pakar nefrologi.

Namun, rawatan ini tidak begitu sesuai bagi pesakit yang mengalami masalah penglihatan atau terlalu lemah untuk mengendalikan mesin.

3. Pemindahan buah pinggang

Pemindahan buah pinggang adalah pembedahan memindahkan buah pinggang sihat ke pesakit buah pinggang.

Buah pinggang baru ini melakukan fungsi yang tidak dapat dilakukan oleh buah pinggang yang sudah rosak.

Dialisis diperlukan sementara menunggu pemindahan dilakukan.

Sumber buah pinggang yang dipindahkan adalah daripada penderma yang masih hidup, ahli keluarga yang mempunyai padanan tisu sama yang paling hampir tetapi orang luar juga mampu menderma jika sesuai.

Juga daripada mereka yang ingin menderma organ selepas meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 5:00 AM