Rogayah Deraman menunujukkan gambar suaminya, Mohd Nazri Hussain yang kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian sejak seminggu lalu akibat komplikasi penyakit buah pinggang yang dihidapi sejak setahun lalu. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Rogayah Deraman menunujukkan gambar suaminya, Mohd Nazri Hussain yang kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian sejak seminggu lalu akibat komplikasi penyakit buah pinggang yang dihidapi sejak setahun lalu. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Langit tidak selalunya cerah. Begitu perumpamaan buat ibu kepada lima anak apabila suaminya yang menjadi tulang belakang kepada keluarga kini sedang bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) akibat komplikasi penyakit buah pinggang yang kronik dihidapi sejak lebih setahun lalu.

Rogayah Deraman, 52, berkata, pada pertengahan Julai lalu, tahap kesihatan suaminya, Mohd Nazri Hussain 55, semakin merosot dan dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas sebelum dipindahkan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini, Jumaat lalu.

Katanya, dia yang tinggal di Pulai Chondong, Machang kini terpaksa menumpang di rumah anak saudaranya, Nora Yusoff, 45, yang terletak di Kampung Tanjong Mas, Pengkalan Chepa bagi mengurangkan kos ulang alik ke hospital untuk menjenguk keadaan suaminya.

"Mujurlah saya yang ditemani anak bongsu yang juga pasangan kembar, Nurul Izzati dan Nurul Iwani yang masing-masing berusia 16 tahun dan dengan adanya mereka di sisi, ia menguatkan lagi semangat saya untuk menempuhi ujian yang dilalui pada saat dan ketika ini.

"Saya dan anak-anak tidak pernah putus berdoa supaya suami diberi kesembuhan dan kembali sihat seperti sedia kala.

"Saya menganggap dugaan dan cabaran yang dilalui sekarang ini sebagai sebahagian daripada ujian Allah SWT kepada hamba-Nya untuk menjadi lebih kuat," katanya ketika ditemui di Kampung Tanjong Mas, di sini, hari ini.

Menceritakan kembali keadaan suaminya itu, Rogayah berkata, sebelum suaminya disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada April tahun lalu, dia mengalami demam selama beberapa hari selain muntah dan sembap di bahagian kaki.

"Bimbang dengan keadaan itu, saya membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Machang dan pada ketika itu doktor yang merawat mengesahkan suami saya menghidap penyakit buah pinggang kronik sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut dan hampir sebulan dirawat di sana.

"Sejak itu, suami saya perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di Hospital Machang bagi mencuci buah pinggangnya yang rosak," katanya

Ibu kepada lima anak berusia antara 16 hingga 23 tahun ini berkata, sebelum ini suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah, namun terpaksa berhenti sejak setahun lalu selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang.

"Kini kami sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan yang diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 selain wang bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung.

"Disebabkan kekangan kewangan juga, dua anak saya yang sebelum ini menuntut di GiatMara Tanah Merah dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan pelajaran kerana bapa mereka tidak lagi mampu menanggung kos pengajian.

"Kini kedua-dua mereka sedang mencari kerja yang bersesuaian bagi membantu menyara keluarga" katanya yang turut risau berdepan dengan kos bayaran hospital.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0350 1417 0008 9811 atas nama Rogayah Deraman atau boleh menghubunginya di talian 011-6108 7618.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 8:58 AM