Saiful Haizan Hasam


Kuala Lumpur: Seramai 16 Senator Pakatan Harapan (PH) menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim supaya membuat keputusan segera berkenaan penangguhan persidangan Dewan Negara.

Ahli Dewan Negara, Raj Munni Sabu, berkata, penangguhan itu dibuat secara tergesa-gesa dengan notis yang pendek tanpa mengikut peraturan mesyuarat Dewan Negara yang betul.

Katanya, turut dikesali ialah penangguhan itu dibuat sedangkan kira-kira 99 peratus Ahli Dewan Negara dan kakitangan sudah melengkapkan suntikan dua dos vaksin.

"Ini bermakna kawasan Parlimen sudah mencapai imuniti kelompok. Jika terdapat kes Covid-19 sekalipun, ia tidak memudaratkan.

"Dewan Negara adalah tempat terbaik untuk memberi keyakinan kepada rakyat, tambahan pula semua Ahli Dewan Negara sudah menjalani ujian saringan Covid-19 pada Sabtu lalu," katanya pada sidang media di laluan masuk ke Parlimen, hari ini.

Memorandum itu diserahkan Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff kepada Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah.

Mesyuarat Khas Dewan Negara sepatutnya berlangsung hari ini hingga Khamis, namun ditangguhkan ke suatu tarikh ditetapkan kelak susulan kes positif Covid-19 membabitkan kakitangan Parlimen dan Ahli Parlimen.

Sementara itu, Raj Munni berkata, pihaknya menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang menggesa Parlimen bersidang bagi membahaskan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat.

Katanya, sebagai Ahli Dewan Negara yang juga Dewan Legislatif tertinggi, pihaknya juga bersetuju dengan titah baginda bahawa pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat yang dibuat kerajaan secara tidak telus dan tanpa melalui kedua-dua dewan serta mendapat perkenan Seri Paduka adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

"Kami percaya Dewan Negara yang berfungsi sebagai semak dan imbang proses legislatif di negara ini perlu bebas daripada cengkaman pihak eksekutif yang tidak menghormati sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan," katanya.

Selain Raj Munni dan Mohd Yusmadi, Ahli Dewan Negara yang turut menandatangani memorandum berkenaan ialah Datuk Theodore Doughlas, Datuk Ismail Yusop, Datuk Husam Musa, Dr Yaakob Sapari, Donald Peter Mojuntin, Manolan Mohamad dan Laksamana (B) Mohd Imran Abdul Hamid.

Tidak ketinggalan, Dr Ahmad Azam Hamzah, Lim Hui Ying, Nga Hock Cheh, Alan Ling Sie Kiong, Adrian Banie Lasimbang, Kesavadas Achyuthan Nair dan Suresh Singh.


Sementara itu, laluan utama ke bangunan Parlimen dikawal ketat sepasukan polis namun Ahli Dewan Negara dibenarkan masuk Parlimen, difahamkan untuk ke pejabat mereka.

Puluhan pengamal media berkumpul di sekitar jalan Parlimen sejak 8.30 pagi bagi membuat liputan selepas mendapat maklumat beberapa Ahli Dewan Negara PH akan berarak ke Dataran Merdeka jika tidak dibenarkan masuk Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:51 PM
Mohd Yusmadi (depan, dua kiri) menyerahkan memorandum kepada Muhd Sujairi di hadapan laluan masuk ke Parlimen. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohd Yusmadi (depan, dua kiri) menyerahkan memorandum kepada Muhd Sujairi di hadapan laluan masuk ke Parlimen. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali