Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Kumpul elaun Covid-19 yang diterima dan salurkan kembali kepada masyarakat. Itu inisiatif dilakukan Polis Terengganu dalam membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Selain sanggup berkongsi elaun diterima, pasukan keselamatan itu juga sanggup meredah lautan untuk menghantar 40 bakul makanan kepada penduduk di Pulau Redang menerusi Op Bantu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, Op Bantu dilancarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyalurkan bantuan kepada masyarakat yang terkesan susulan penularan Covid-19.

Beliau berkata, semua ketua polis daerah sudah menggerakkan program Op Bantu di daerah masing-masing sebelum ini.

"Namun untuk kumpul elaun Covid-19, ini kali kedua ia dilaksanakan dengan sumbangan pertama diberikan kepada pengayuh beca di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu menerusi hasil kutipan daripada elaun Covid-19 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu.

"Hari ini, kita sediakan 40 bakul makanan hasil kutipan elaun Covid-19 pegawai dan anggota Kontinjen Terengganu serta KDN untuk diberikan kepada penduduk yang terjejas di pulau ini.

"Majoriti penduduk di sini terbabit dalam sektor pelancongan dan mereka ini antara yang terkesan teruk apabila aktiviti pelancongan yang menjadi sumber pendapatan mereka tidak beroperasi.

"Sebagai barisan hadapan, kami ada terima elaun Covid-19 dan kita rasa terpanggil untuk kumpul serta hulurkan balik kepada masyarakat seiring dengan tema kita, 'Polis dan masyarakat berpisah tiada'," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Bakul Makanan sempena Op Bantu di Pulau Redang di sini hari ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa (tengah) menyampaikan Bakul Makanan sempena Op Bantu di Pulau Redang. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa (tengah) menyampaikan Bakul Makanan sempena Op Bantu di Pulau Redang. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Sementara itu, Rohaimi berkata, sebanyak empat kes bendera putih dikesan di Terengganu sejak awal Jun lalu.

Katanya, pihaknya kemudian menyalurkan maklumat itu kepada agensi berkaitan bagi membantu mereka yang terkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 4:34 PM