Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seramai 633 pegawai, anggota dan kakitangan awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mula menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech secara berperingkat bermula hari ini.

Pengarah JBPM Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata, proses suntikan itu dimulakan kakitangan di peringkat ibu pejabat Terengganu bermula hari ini diikuti suntikan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di daerah.

"Secara keseluruhan, kita ada seramai 833 pegawai, anggota dan kakitangan awam di JBPM Terengganu namun kira-kira 200 orang daripadanya menolak daripada menerima suntikan berkenaan.

"Mereka yang menolak suntikan ini bukan antivaksin sebaliknya berbuat demikian kerana masalah kesihatan seperti mengandung dan sebagainya.

"Tidak timbul isu antivaksin kerana mereka ini ada alasan yang kukuh untuk dikecualikan menerima suntikan fasa pertama ini, " katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Manir di sini, hari ini.

Terdahulu, Md Hilman selesai menerima suntikan berkenaan, 9.15 pagi tadi.

Menurut Md Hilman lagi, suntikan juga akan diberikan kepada lebih 100 orang bomba bantuan di Terengganu

"Mereka ini juga akan diberikan suntikan pada fasa kedua nanti," katanya.

Terengganu mendapat 16,330 dos vaksin bagi fasa pertama pada Khamis lalu dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi individu pertama di Terengganu menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech.

MD Hilman (duduk, tengah) antara yang menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MD Hilman (duduk, tengah) antara yang menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 12:15 PM