Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Sebuah syarikat pemasangan perancah besi didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas didapati bersalah kerana gagal memastikan keselamatan di tempat kerja sehingga mengakibatkan dua pekerja warga Myanmar syarikat itu maut tahun lalu.

Syarikat Team Scaffolding & Insulation Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, Lau Kiew Ling, 39, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mahkamah turut memerintahkan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Lau selaku majikan didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya apabila perancah yang dipasang di tingkat enam pengkalsin (calciner) di tanur 3 (kiln 3), di Tasek Corporation Berhad, Persiaran Tasek, Tasek Industrial Estate tidak mengikut reka bentuk yang selamat.

Insiden yang berlaku pada 12 tengah hari, 5 Oktober lalu itu mengakibatkan dua orang pekerja syarikat berkenaan, iaitu Nay Lin, 25, dan Maung Maung Win, 32, kemalangan dan jatuh dari tempat tinggi.

Oleh itu, Lau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 19 akta sama dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

LAU Kiew Ling didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh atas kesalahan gagal memastikan keselamatan ditempat kerja sehingga mengakibatkan dua pekerjanya maut tahun lalu. FOTO Balqis Jazimah Zahari
LAU Kiew Ling didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh atas kesalahan gagal memastikan keselamatan ditempat kerja sehingga mengakibatkan dua pekerjanya maut tahun lalu. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak Hasan Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, kedua-dua mangsa bersama dengan tiga pekerja lain ditugaskan untuk melakukan kerja rombakan perancah di lokasi kejadian.

Ketika memotong dawai pengikat geladak logam (metal deck), secara tiba-tiba perancah di dalam pengkalsin (calciner) mengakibatkan Maung Win dan Nay Lin jatuh pada ketinggian kira-kira 38 meter bersama geladak logam berkenaan.

Kedua-dua mangsa yang jatuh meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan struktur perancah yang dipasang tidak kukuh dan stabil serta tiada lukisan reka bentuk dibuat bagi tujuan pemasangan perancah di dalam pengkalsin terbabit.

Hasil siasatan juga mendapati pemasangan perancah pada 3 Oktober lalu dijalankan tanpa penyeliaan terus dari pengendali perancah yang berdaftar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 2:19 PM