Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Dua syarikat didenda oleh Mahkamah Sesyen Ipoh di sini, hari ini selepas didapati mengabaikan keselamatan pekerja sehingga mengakibatkan dua pekerja maut.

Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Kewangan, Mohd Hidayatullah Mohamed Yusof dikenakan hukuman denda RM50,000 oleh Hakim Noorashima Khalid selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Mengikut kertas pertuduhan, sebagai majikan utama gagal untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja pekerjanya iaitu gagal memastikan pengadaan sistem penangkapan jatuh (fall arrest system) bagi kerja-kerja memasang 'hangging scaffold' sehingga menyebabkan berlaku kemalangan maut kepada pekerjanya Kamal Hossein.

Kemalangan berkenaan berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja memasang 'hangging scaffold' pada kira-kira jam 12.50 tengah hari, 17 Julai 2019.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Devyclay Pius dan Shahrill Sulaiman, manakala syarikat diwakili peguam Tajuddin Razak dari Hasshahari & Partner.

Di mahkamah sama, MARDEC Processing Sdn Bhd yang diwakili Pengurus Operasi Kilang, Mohamad Zubir Md Desa mengaku bersalah dan didenda RM35,000 selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Norashima.

Mengikut pertuduhan, sebagai majikan gagal untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja pekerjanya iaitu gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti pemanduan jentera angkat sehingga menyebabkan berlaku kemalangan maut pada pekerja, Md Millon Sheikh.

Anggota polis mengiringi wakil  Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Anggota polis mengiringi wakil Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Kemalangan yang berlaku pada jam kira-kira 11.30 pagi, 4 April 2021 menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah akibat dilanggar jentera berkenaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang pada jam 12.05 tengah hari pada hari yang sama.

Pendakwaan dikendalikan, Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Eza Marny Marzuki manakala syarikat tidak diwakili peguam bela.

Kedua-dua syarikat melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi tempoh 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 3:45 PM