Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bekas ketua penolong pegawai daerah Segamat didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM10,000, Oktober lalu.

Tertuduh, Nazri Izuddin Madon, 37, yang memakai kot hitam, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperoleh secara rasuah untuk dirinya wang tunai berjumlah RM10,000 daripada seorang individu.

Ia sebagai dorongan bagi tertuduh untuk melantik syarikat tertentu melaksanakan kerja projek bantuan rumah negeri Johor dan projek kerja kecil dalam daerah Segamat untuk tahun 2020.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Daerah Segamat kira-kira jam 2.45 petang pada 19 Oktober lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Ia membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

NAZRI Izuddin didakwa atas pertuduhan menerima rasuah RM 10,000, Oktober lalu. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
NAZRI Izuddin didakwa atas pertuduhan menerima rasuah RM 10,000, Oktober lalu. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul RahimAli.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga negara, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Johor setiap bulan.

Peguam tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan ke RM7,000 berikutan tertuduh menanggung dua anak yang seorang daripada mempunyai penyakit ekzema kronik.

"Tertuduh kini masih berkhidmat di sebuah agensi kerajaan negeri di Johor Bahru namun perlu menanggung anak yang mempunyai penyakit kronik malah isterinya terpaksa bercuti sementara bagi memberi tumpuan menjaga anak mereka," katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Johor setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Ogos depan bagi penyerahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 11:13 AM