GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini atas dakwaan meminta dan menerima suapan berjumlah RM3,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Ab Kassim Ab Kais, 51, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, Ab Kassim didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya sendiri satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,000 daripada Chua Soon Heng, 45, pada 10.30 pagi, 8 Ogos 2018 lalu.

Perbuatan itu dilakukan di Bilik Ketua Cawangan Perkastaman, Wisma Kastam, Jalan Dunlop dalam daerah Tawau.

Ia sebagai dorongan kepada tertuduh yang ketika itu bertugas di JKDM Tawau sebagai Penolong Pengarah Kastam untuk melepaskan bot dan enjin milik Chua Soon Heng yang ditahan kerana dikatakan tidak membuat ikrar bagi enjin dan bot terbabit.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, 2009 [Akta 694] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Clementine Severinus dan Rekhraj Singh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, dilarang mendekati saksi selain perlu melaporkan diri setiap dua bulan di pejabat SPRM berhampiran dan pasport diserah kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 5:59 PM