Mohd Yusof dipenjara dan didenda atas tuduhan rasuah. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Mohd Yusof dipenjara dan didenda atas tuduhan rasuah. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Peneroka FELDA dipenjara tiga hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM300 kepada seorang anggota polis supaya tidak mengambil tindakan terhadap pekerjanya yang juga warga Indonesia, tahun lalu.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Yusof Patah@Haron, 67, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi rasuah RM300 kepada Lans Koperal Zailan Puteh sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman terhadap seorang warga Indonesia atas perbuatan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pondok Polis Palong Timur, Segamat dekat sini, jam 11.25 pagi, 16 Oktober 2015.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 12:22 PM