Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bekas ejen pengurusan sebuah pangsapuri didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas 23 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM9,600 bagi mencadangkan sebuah syarikat kontraktor dilantik menguruskan kerja pembersihan kediaman berkenaan antara Mei 2017 hingga September 2019.

Tertuduh, Tay Choon Siew, 68, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Tertuduh didakwa menerima suapan wang berjumlah RM400 sebanyak 22 kali transaksi dan RM800 sekali transaksi ke akaun banknya daripada seorang kontraktor.

Ia bagi mencadangkan syarikat kontraktor berkenaan sebagai kontraktor kerja pembersihan dan landskap di Badan Pengurusan Bersama sebuah pangsapuri, di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Wong Ah Fook, di sini, antara 3 Mei 2017 hingga 3 September 2019.

TERTUDUH didakwa atas 23 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM9,600 antara Mei 2017 hingga September 2019 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
TERTUDUH didakwa atas 23 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM9,600 antara Mei 2017 hingga September 2019 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Choon Siew didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Ia membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Mahirah Mohd Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Datin S Freda.

Pegawai Pendakwa turut memohon mahkamah memberikan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh, pasport antarabangsa diserah pada mahkamah selain perlu hadir ke pejabat SPRM Johor, pada setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu supaya jaminan ditetapkan pada kadar antara RM3,000 hingga RM5,000 berikutan tertuduh sudah tidak bekerja sejak 2019.

"Tertuduh juga disahkan kanser kolon tahap satu dan terpaksa memakai beg stoma bagi membuang air besar dengan kos beg itu adalah RM6, dan perlu diganti setiap hari.

"Tertuduh kini ditanggung anak perempuannya yang bekerja di Singapura yang menghantar RM900 setiap bulan. Empat lagi anak tertuduh tidak mempedulikannya lagi dan beliau kini menyewa sendirian di sebuah perumahan rakyat," katanya.

Hakim memerintahkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala pasport antarabangsanya diserah pada mahkamah sehingga perbicaraannya selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 29 November depan bagi penyerahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 12:23 PM