GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis meminta saksi dua kes kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal di Jalan Lapangan Terbang Subang dan Jalan Selangor, dekat sini untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kemalangan pertama membabitkan van Toyota Hiace dan motosikal Modenas Kriss di Jalan Lapangan Terbang Subang pada 11.15 pagi, 1 Julai lalu.

"Berdasarkan siasatan awal, pemandu van terdengar bunyi dentuman kuat dan mendapati sebuah motosikal melanggar belakang kenderaannya menyebabkan penunggang parah.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia pada 11.48 malam, 2 Julai lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, kemalangan kedua berlaku di Jalan Selangor pada 3 pagi, 5 Julai lalu.

Menurutnya, lelaki berusia 70 tahun yang menunggang Honda C100 dipercayai terbabas dan jatuh di atas jalan raya menyebabkannya parah.

"Mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan. Mangsa meninggal dunia pada 12.30 tengah hari, 13 Julai lalu akibat positif Covid-19," katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 4:56 PM