Dua bot kelas A yang dikesan mengubah suai bot kepada bot pukat tunda dan tiada lesen serta menggunakan nombor pendaftaran palsu di muara Sungai Bernam di perairan Perak. FOTO IHSAN APMM
Dua bot kelas A yang dikesan mengubah suai bot kepada bot pukat tunda dan tiada lesen serta menggunakan nombor pendaftaran palsu di muara Sungai Bernam di perairan Perak. FOTO IHSAN APMM
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Kru warga asing dua bot pukat tunda nekad terjun laut bagi mengelak ditahan pihak berkuasa selepas aktiviti haram mereka dikesan di muara Sungai Bernam di sini, hari ini.

Kedua-dua bot kelas A berkenaan dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda di kedudukan 0.3 batu nautika hingga 0.5 batu nautika tenggara muara sungai berkenaan pada 9 pagi.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kedua-dua bot nelayan tempatan yang diubah suai sebagai bot pukat tunda itu dikendalikan beberapa kru dipercayai warga asing.

"Semua kru berkenaan bertindak nekad terjun ke laut dan berenang ke kawasan paya bakau berhampiran sekitar muara Sungai Bernam sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Pemeriksaan lanjut turut mendapati kedua-dua bot berkenaan disyaki tidak mempunyai lesen penangkapan ikan dan menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya dalam kenyataan.

Shahrizan berkata, kedua-dua bot dirampas dan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu, Sitiawan untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (A) Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen.

Katanya, orang ramai juga diminta menyalurkan sebarang maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 5:39 PM