Sebuah antara tiga bot nelayan tempatan yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sekitar perairan Perak, di sini. FOTO IHSAN APMM
Sebuah antara tiga bot nelayan tempatan yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sekitar perairan Perak, di sini. FOTO IHSAN APMM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga bot nelayan dan lapan kru termasuk empat warga asing di perairan Perak, di sini.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, ketiga-tiga bot berkenaan ditahan semalam dan 11 Oktober lalu ketika operasi di perairan berkenaan.

"Sebuah bot kelas C ditahan di kedudukan 6 batu nautika timur laut Pulau Jarak pada 3.15 petang semalam yang disyaki menggunakan pukat tunda dan melakukan aktiviti penangkapan ikan di bawah 12 batu nautika.

"Bot itu dikendalikan tiga kru warga Thailand dan seorang warga Kemboja. Tiga kru mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit yang sah, manakala seorang lagi dokumennya sudah tamat tempoh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut menahan dua bot kelas B di kedudukan 2.7 hingga 3.1 batu nautika timur Pulau Lalang pada 11.30 pagi, 11 Oktober lalu.

Katanya, setiap bot berkenaan dikendalikan dua kru warga tempatan berusia antara 40 hingga 60 tahun.

"Kedua-dua bot berkenaan didapati melakukan aktiviti perikanan di sekitar kedudukan 2.7 batu nautika iaitu di bawah 5.0 batu nautika yang dibenarkan oleh syarat sah lesen.

"Semua kru terbabit dan hasil tangkapan kira-kira 580 kilogram ikan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu, Sitiawan untuk tindakan lanjut," katanya.

Shahrizan berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 8 (B) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 12:11 PM