Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sebanyak 171 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan dibuka sepanjang tahun lalu membabitkan seramai 314 pegawai dan anggota Kontinjen Pulau Pinang.

Individu itu terdiri daripada seramai 43 pegawai kanan polis, 269 pegawai rendah polis dan dua kakitangan awam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua kes berkenaan membabitkan kesalahan tata tertib, syariah, jenayah, rasuah, penyalahgunaan dadah, tidak hadir bertugas dan gagal dikesan atau bolos.

Katanya, berdasarkan jumlah kes, kesalahan tatatertib paling banyak direkodkan iaitu sebanyak 107 kes diikuti dengan jenayah (33 kes), dadah (17) dan bolos (empat).

"Manakala bagi kesalahan rasuah pula, sebanyak empat kertas siasatan dibuka manakala dua lagi kes membabitkan syariah.

"Berdasarkan siasatan yang dilakukan juga mendapati, seramai 28 individu kini berdepan tindakan gantung, tahan dan buang kerja mengikut Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993," katanya kepada media, hari ini.

KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain. FOTO Mikail Ong
KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain. FOTO Mikail Ong

Mohd Shuhaily berkata demikian selepas mengadakan perhimpunan bulanan dan lafaz ikrar bagi Januari 2022 Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Pasukan Simpanan Polis Persekutuan, Ayer Itam di sini.

Beliau berkata, kesalahan membabitkan pegawai dan anggota Kontinjen Pulau Pinang menunjukkan peningkatan sebanyak 35.71 peratus berbanding pada 2020 iaitu sebanyak 126 kertas siasatan dibuka.

"Kita tidak akan sekali berkompromi dengan mana-mana pegawai ataupun anggota yang terbabit dengan salah laku dan tindakan tatatertib akan diambil demi menjaga nama baik PDRM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 11:24 AM