Hadzlihady Hassan


POLIS rampas empat pistol dan dadah bernilai RM11,500 pada serbuan di Taman Idaman, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang 3 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya turut menahan suami isteri berusia 33 tahun dan seorang wanita berusia 59 tahun.

Menurutnya, pada mulanya, pihaknya menerima maklumat mengenai kes pengedaran dadah sebelum menyerbu rumah teres dua tingkat itu.

“Bagaimanapun, pemeriksaan menemui empat pistol, 151 peluru hidup dan tiga gari bersama kunci.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh (dua dari kanan) menunjukkan empat pistol bersama 151 peluru hidup dirampas daripada suspek. FOTO Danial Saad.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh (dua dari kanan) menunjukkan empat pistol bersama 151 peluru hidup dirampas daripada suspek. FOTO Danial Saad.

“Kami masih menyiasat untuk mengenal pasti kemungkinan suspek menyamar sebagai polis atau anggota agensi penguatkuasaan lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut merampas tiga paket heroin seberat 573.9 gram dan dua paket ketamin seberat 26.7 gram dengan nilai keseluruhan RM11,500.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti bagaimana suspek memperoleh senjata api terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 12:38 PM