Lantai benteng pemecah ombak berhampiran Kuala Chenang pecah selepas dipukul ombak kuat susulan cuaca buruk. FOTO TULAR MEDIA SOSIA
Lantai benteng pemecah ombak berhampiran Kuala Chenang pecah selepas dipukul ombak kuat susulan cuaca buruk. FOTO TULAR MEDIA SOSIA
Hamzah Osman


Langkawi: Lantai benteng pemecah ombak berhampiran Kuala Chenang di Kampung Kuala Teriang, di sini, pecah akibat dipukul ombak kuat, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada 2 petang itu, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Langkawi Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Susulan itu, orang ramai dinasihatkan menjauhi lokasi bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Ia seiring amaran Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan ribut petir dengan kelajuan angin sehingga 40-50 kilometer sejam (km/j) dijangka berterusan sehingga Sabtu ini," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang, pihaknya beranggapan tidak sesuai untuk orang ramai melakukan riadah dan memancing di kawasan itu.

"Difahamkan ketinggian ombak mencecah antara 1.5 hingga 3.5 meter yang berkemungkinan boleh menyebabkan hakisan teruk kepada struktur binaan itu," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 56 saat dalam aplikasi WhatsApp memaparkan kejadian lantai benteng pemecah ombak itu pecah selepas dipukul ombak kuat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 8:39 PM