Shukri menceritakan kejadian bot karam kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah Nor Saidi Nanyan (dua dari kanan) ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Langkawi, hari ini. FOTO HAMZAH OSMAN
Shukri menceritakan kejadian bot karam kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah Nor Saidi Nanyan (dua dari kanan) ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Langkawi, hari ini. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


PEMANCING, Shukri Saad, 51, yang terselamat selepas bot mereka karam di perairan Tanjung Belua, dekat sini, hari ini menyifatkan kejadian itu seperti mati hidup semula.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, rakan rapatnya, Ajis Omar, 51, dari Kampung Batu Ara Kuala Teriang, Mukim Padang Matsirat, Langkawi lemas selepas bot gentian kaca yang mereka naiki karam dipukul ombak kuat.

Menceritakan semula detik cemas itu, Shukri dari Kampung Padang Ranggut berkata, kejadian berlaku pantas apabila bot berkenaan tiba-tiba dimasuki air dari belakang selepas dipukul ombak kuat sebelum menghempap batu dan tenggelam.

"Saya bersama arwah (Ajis) jatuh ke laut dan sejurus itu masing-masing cuba berenang ke arah bongkah batu yang jaraknya kira-kira 70 meter dari tempat kami terapung bagi menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun, berenang dalam ombak yang kuat memang memerah kudrat, sekali gus menyebabkan arwah yang menghidap penyakit penat makin longlai dan tenggelam di hadapan saya," katanya ketika ditemui di wad kecemasan Hospital Langkawi (HL) hari ini.

Shukri berkata, dia yang mengalami patah jari tangan kiri dan luka di kaki serta perut kemudian terdampar di atas batu dan ditemui seorang pemancing yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum membawanya ke jeti Telaga Habour Park.

"Kami turun ke laut kira-kira jam 11 pagi tadi. Saya dan arwah memang rapat dan kami kerap keluar memancing bersama sebagai hobi selain mencuba bot yang baru dibeli kira-kira dua bulan lalu.

"Bila kenang balik kejadian yang tidak diduga itu, ia menjadi satu pengalaman ngeri kerana saya sendiri hampir lemas dan ibarat mati hidup semula," katanya.

Turut melawat dan bertanya khabar Shukri di wad kecemasan HL adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Polis Dr Che Ghazali Che Awang, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes mangsa lemas diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 11:44 PM