MOHD Asri. FOTO Facebook Mohd Asri Mat Daud
MOHD Asri. FOTO Facebook Mohd Asri Mat Daud
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan kes rasuah membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta yang terkait anak syarikat kerajaan negeri, Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB).

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu iaitu bekas pengurus besar AKSB berusia 60 tahun, pegawai AKSB berumur 39 tahun dan pengurus projek sebuah syarikat berusia 43 tahun.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob maklum mengenai penahanan itu dan kerajaan negeri menyokong serta akan bekerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan yang telus selaras undang-undang sedia ada.

"Dalam pada itu, prinsip 'tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah' perlulah sentiasa dipegang.

"Semua pihak hendaklah memberi kepercayaan penuh kepada siasatan yang sedang dibuat oleh SPRM dan tidak mendahului SPRM dalam hal ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tiga lelaki itu ditahan reman selama tiga hari hingga Isnin ini untuk siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Media semalam melaporkan, mereka disiasat atas dakwaan pembabitan dalam rasuah daripada sebuah syarikat untuk mendapatkan projek dan kerja daripada AKSB, antara 2015 dan 2019.

Berita berkaitan

Bekas pengurus besar AKSB antara 3 ditahan berkait rasuah lebih RM27 juta

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 7:27 PM