Laporan Harian Metro.
Laporan Harian Metro.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Lelaki berusia 27 tahun yang juga suspek dipercayai membunuh bayi perempuan dalam satu pergaduhan keluarga disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang (HTK), semalam.

Suspek yang juga bapa saudara kepada bayi perempuan berusia setahun itu disahkan meninggal dunia jam 6.37 petang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya sebelum itu mendapati suspek mengalami kecederaan dipercayai akibat pergelutan antara ahli keluarga dalam usaha untuk menangkapnya.

Susulan itu, katanya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"Sekitar jam 4 petang semalam, suspek didapati dalam keadaan amat lemah. Polis kemudian menghubungi pihak hospital dan dia dibawa ke HTK menaiki ambulans.

"Pihak hospital mengambil masa kira-kira 30 minit untuk merawat suspek. Bagaimanapun, suspek disahkan meninggal dunia jam 6.37 petang," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Arjunaidi berkata, pihak keluarga suspek sudah dihubungi dan dimaklumkan berkenaan kejadian itu.

Katanya, bedah siasat akan dijalankan sejurus pihak hospital memperolehi keputusan saringan Covid-19.

"Satu laporan polis sudah dibuat oleh keluarga suspek supaya siasatan dibuat bagi tujuan mendapatkan punca sebenar kematian suspek.

"Sehubungan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) membuka kertas siasatan dan ditumpukan kepada aspek prosedur operasi standard (SOP) 'duty of care' dan kelakuan jenayah semasa mengurus suspek," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun maut selepas ditetak oleh bapa saudaranya di Kampung Parit Mahang, Jeram, di sini.

Difahamkan, pergaduhan membabitkan sesama ahli keluarga yang dipercayai berpunca daripada isu kewangan.

Selain suspek yang ditahan, turut dirampas sebilah parang panjang.

Berita berkaitan:

  • Kejamnya, tetak kepala bayi sampai mati!
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 8:13 PM